"Kami seperti berada dalam medan perang dan pengalaman menaiki Barracuda cukup istimewa."

Itu kenyataan penyerang negara, Syafiq Ahmad, yang berkongsi detik cemas sepanjang berada di Stadium Utama Gelora Bung Karno sewaktu ditemui wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Jakarta, semalam.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak menyembunyikan rasa puas selepas pasukannya mempamerkan kebangkitan sebelum menang 3-2 dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Dia menegaskan insiden melibatkan penyokong Indonesia tidak melemahkan kudratnya dan rakan sepasukan, malah meningkatkan lagi semangat mereka untuk berjuang sehingga ke minit akhir.

"Kami tahu peminat di Indonesia terlalu fanatik. Sejak permulaan aksi, kami tampak gugup. Saya memberitahu rakan sepasukan agar mengabaikan insiden dalam babak kedua dan hanya cuba menjadikannya semangat untuk kembali melawan," katanya.

Dalam masa sama, Syafiq juga mengibaratkan situasi terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk pulang ke hotel penginapan dari stadium sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sambil lega seluruh pasukan selamat.

"Pengalaman menaiki Barracuda ibarat menuju medan perang. Apabila menaikinya, kami rasa lebih selamat dan insya-Allah, kalau ada peluang kami boleh naik lagi."