Pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann, dikesan positif COVID-19 selepas tidak muncul ketika Bayern mengalahkan Benfica 4-0 di Portugal semalam kerana pada awalnya mempunyai 'bergejala seperti selesema'.

Anak buahnya, bagaimanapun, mempertahankan rekod bersih di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini menerusi dengan penolong jurulatih, Dino Toppmoller.

Gergasi Bavaria itu telah memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama mereka dengan menjaringkan 12 gol tanpa dibolosi untuk mendahului Kumpulan E dengan kelebihan lima mata.

Semalam, kelab itu mengesahkan pengurus berusia 34 tahun tersebut walaupun diberi vaksin sepenuhnya, positif pandemik berkenaan dan akan kembali ke Munich secara berasingan dan bukannya bersama pasukan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya.

Justeru, Nagelsmann akan terlepas perlawanan liga menentang Hoffenheim di tempat sendiri, malam esok, sambil Toppmoller bersedia untuk terus memangku tanggungjawabnya.

Bayern satu mata mendahului Borussia Dortmund di puncak Bundesliga menerusi enam kemenangan dan satu kekalahan daripada lapan perlawanan dalam usaha mereka memburu gelaran liga ke-10 berturut-turut.