Prestasi Timo Werner yang kurang memberangsangkan untuk RB Leipzig ketika seri 1-1 semalm dengan Paderborn tidak berkait dengan khabar angin perpindahannya ke Chelsea, tegas pengendali pasukan, Julian Nagelsmann.

Laporan media yang berkaitan dengan masa depan Werner semakin meningkat dalam beberapa hari yang lalu, apabila timbul spekulasi Chelsea telah bersetuju untuk menandatangani pemain tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Leipzig, Oliver Mintzlaff, menjelaskan sebelum perlawanan bahawa Chelsea belum lagi berhubung dengan Werner, sementara beliau juga yakin penyerang itu masih belum lagi mengaktifkan klausa perpindahannya.

Pemain antarabangsa Jerman itu gagal menampilkan persembahan terbaik ketika bertemu Paderborn -- pasukan tercorot liga yang berjaya membuatkan Leipzig tercicir dua mata.

Tetapi Nagelsmann menolak cadangan mengenai aksi hambar Werner berpunca daripada spekulasi perpindahannya.
"Tidak, ia tidak mengganggunya," kata Nagelsmann.

"Dia sangat komited. Dia selalu bekerja keras dan sentiasa berlari di atas padang.

"Dia telah menjaringkan 32 atau 33 gol musim ini. Hari ini dia gagal melunaskan peluang, tetapi berjaya melakukan hantaran untuk jaringan yang disempurnakan Patrik [Schick]."

Leipzig kini ketinggalan empat mata di belakang Borussia Dortmund di tempat kedua.