RB LEIPZIG 1 BAYERN MUNICH 4

Julian Nagelsmann kelihatan menikmati kemenangan 4-1 Bayern Munich ke atas bekas kelab bimbingannya, RB Leipzig, dalam perlawanan Bundesliga di Arena Red Bull awal pagi tadi.

Nagelsmann menjadi mangsa kecaman penyokong Leipzig selepas memilih untuk menyertai Bayern sambil membawa Marcel Sabitzer bersamanya dan kecaman itu kelihatan tidak akan reda selepas kemenangan terbaru kali ini.

Robert Lewandowski meletakkan Bayern di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-12 sebelum dua gol pantas daripada Jamal Musiala dan Leroy Sane dalam babak kedua, masing-masing pada minit ke-47 dan 54, menjadikan perlawanan itu berada di bawah kawalan pasukan pelawat berkenaan.

Leipzig kendalian Jesse Marsch segera memberikan respons dan berhasil merapatkan kedudukan hasil jaringan Konrad Laimer tetapi ia belum cukup untuk memacu kebangkitan dan menamatkan rekod buruk menentang Bayern apabila Eric Maxim Choupo-Moting menambah satu lagi jaringan pelawat dalam waktu kecederaan.