Pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann, menepis tanggapan bahawa barisannya mempunyai tahap fokus yang berbeza ketika menghadapi Bundesliga dan perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

Nagelsmann berdepan kecaman sejak akhir-akhir ini berikutan kelesuan jaguh Bundesliga itu dalam kancah domestik apabila menang tiga kali dan seri tiga kali. Tetapi mereka garang di peringkat benua dengan memungut mata penuh dalam kumpulan maut yang mengandungi Barcelona, Inter dan Viktoria Plzen itu.

“Saya tidak fikir kami menunjukkan dua sisi berbeza.

"Ketika menentang Barcelona, ​​kami ketinggalan lebih awal. Dalam beberapa perlawanan awal kami terlebih dahulu merobek gawang.

"Cuma momentum yang kami gunakan pada awal musim ini dan tidak lagi berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya kepada @iMiaSanMia.

“Saya mengambil berat setiap kritikan apabila ia dibawa ke perhatian saya. Setiap daripada kami perlu bertanggungjawab dan begitu juga saya.

"Saya tahu bahawa saya membuat pelaburan tinggi dalam tugasan ini. Saya tidak perlu bertanggungjawab atas segala-galanya, pemain juga tidak. Ini adalah sukan berpasukan.”

Bayern akan berhitung dengan Leverkusen, awal pagi esok bagi memadam kekecewaan ditumbangkan FC Augsburg, dua minggu lalu.

“Saya pastinya tidak berada dalam mood yang baik selepas Augsburg. Saya memikirkan perkara yang boleh saya lakukan dengan lebih baik dan cuba melakukan yang lebih baik pada hari berikutnya. Saya mahu memenangi Bundesliga dan juga melangkah jauh dalam Kejohanan Pokal dan UCL,” katanya lagi.