Ketua jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann, berharap dapat mengekalkan Leon Goretzka bersama pasukannya walaupun pemain tengah itu sedang hangat dikaitkan dengan Manchester United.

Goretzka, yang dilabel oleh Nagelssmann sebagai pemain tengah paling berbahaya di Eropah, hanya mempunyai kontrak yang berbaki setahun bersama juara Bundesliga, Bayern.

United dilaporkan menyenaraikan Goretzka sebagai pemain yang berpotensi untuk menyertai mereka selepas sah mendapatkan pemain sayap England daripada Borussia Dortmund, Jadon Sancho.

Goretzka menghasilkan lima gol dan lima bantuan jaringan dalam 24 penampilan Bundesliga musim lalu selain turut menemui sasaran sebanyak dua kali dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2020-21.

Bercakap dalam sidang media pertamanya selaku pengurus Bayern, Nagelsmann berkata: "Leon adalah pemain yang amat penting. Saya juga akan sangat gembira sekiranya dapat bekerjasama dengannya untuk tahun-tahun mendatang.

"Dia merupakan antara pemain tengah paling berbahaya di Eropah, jadi sudah pasti saya mahu mengekalkannya."