WERDER 1 LEIPZIG 2

Julian Nagelsmann ingin "mengucapkan selamat tinggal kepada RB Leipzig dengan gelaran" selepas menjamin tiket ke final DFB-Pokal Jerman dengan menundukkan Werder Bremen 2-1, awal pagi tadi.


Pengurus itu sudah mengesahkan dia akan bergabung dengan Bayern Munich pada musim depan, sekali gus mengakhiri tempoh dua tahunnya di Leipzig.

Dia mengemudi kelab itu muncul semi-finalis Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu dan menamatkan musim pertama di bawah bimbingannya di tempat ketiga Bundesliga, tetapi belum mengecapi sebarang gelaran bersama kelab berkenaan.

The Red Bulls hampir pasti menguasai tangga Bundesliga musim ini dan Nagelsmann berhasrat mengucapkan detik perpisahannya dengan DFB-Pokal.

"Saya ingin mengucapkan selamat tinggal dengan gelaran," katanya.

"Kami harap dapat beraksi dalam final dengan baik.

"Apabila melihat ramai yang tetap bekerja sangat keras selepas dilanda beberapa minggu yang bergelora, tentu saja ia sesuatu yang hebat."




Emil Forsberg muncul wira pada masa tambahan selepas buntu sepanjang 90 minit untuk membawa Leipzig berhitung dengan Borussia Dortmund atau Holstein Kiel di pentas akhir kelak.

Hwang Hee-chan terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Leipzig sebelum Leonardo Bittencourt menghukum kesilapan lawan untuk menyamakan kedudukan.

"Pada akhirnya, perlawanan sengit menjadikan kemenangan ini lebih manis lagi," katanya.

"Ia sangat beremosi dan melelahkan. Barisan pemain sentiasa berusaha dan berhempas-pulas.

"Mereka tidak terpengaruh dengan minggu bergelora sebelumnya, semua pihak menyaksikannya di atas padang hari ini. Jiwa pemain saya di landasan yang tepat dan mereka memang layak untuk menang."