BAYERN 4 WOLFBURG 0

Julian Nagelsmann berpuas hati dengan prestasi Bayern Munich selepas kelab Bavaria itu mengukuhkan kedudukan di puncak menjelang pertengahan saingan Bundesliga musim ini.


Bayern melakar kemenangan 4-0 ke atas Wolfsburg di laman sendiri, awal pagi tadi, yang menyaksikan Thomas Muller -- membuat penampilan liga ke-400 bersama juara bertahan itu dengan menjaringkan gol pertama dan mencipta umpanan buat Dayot Upamecano untuk gol kedua perlawanan.

Tidak lama kemudian, Leroy Sane menokok gol ketiga sebelum Robert Lewandowski memuktamadkan kemenangan untuk penyerang Poland itu menjaringkan gol liga ke-43 sepanjang 2021, sekali gus mengatasi rekod 42 gol yang dimiliki Gerd Muller yang dilakar pada 1972.

Bayern menerajui kempen di Jerman dengan kelebihan sembilan mata di depan pasukan di tempat, kedua Borussia Dortmund, yang akan turun menentang Hertha Berlin, awal pagi esok, dan bekas pengurus RB Leipzig itu gembira dengan usaha pasukannya setakat ini.

Dalam era kemenangan tiga mata, Bayern, telah dinobatkan juara dalam 14 daripada 15 musim ketika mereka mendahului pertengahan kempen.

"Saya sangat berpuas hati dengan separuh pertama musim ini," kata Nagelsmann kepada pemberita.



“Bukan mudah untuk menjaringkan gol sebanyak ini apabila berdepan pertahanan yang begitu padat.

"Kami mempunyai kawalan permainan yang sangat baik dan mengasak lebih baik dalam separuh masa kedua. Kuncinya adalah tekanan balas: kami memenangi bola tinggi dan menutup seetiap jurang.

"Saya sangat gembira dengan persembahan mereka. Kami menghadapi banyak perlawanan baru-baru ini; separuh masa pertama lebih sukar. Fasa awal permainan adalah baik kemudian kami mengendurkan sedikit rentak permainan.
Kemudian Wout Weghorst diberi peluang jadi kami bertuah atau kami mempunyai penjaga gol yang bagus, mungkin gabungan kedua-duanya.

"Cara kami beraksi dalam separuh masa kedua adalah hebat. Ia gol-gol yang menarik."

Mengenai jaringan Lewandowski, Nagelsmann menambah: "Saya sangat gembira dia dapat mencetak gol. Ia adalah jaringan yang menarik -– Lewy mengharungi perlawanan yang hebat."








Nagelsmann turut memuji Upamecano yang melakukan 103 hantaran di kawasan lawan -– angka terbanyak dalam perlawanan -– sambil memimpin Bayern untuk daripada segi terjahan (lima) dan mengembalikan penguasaan bola (14 kali).

"Dia menyumbat gol yang sangat bagus," sambung pengurus Bayern itu.

“Kami sedar betapa pentingnya untuk mempunyai pemain pertahanan yang mampu menjaringkan gol apabila lawan lebih gemar berkampung di kubu sendiri.

"Dia sangat fokus pada hari ini. Secara keseluruhan, dia telah mengharungi musim yang baik kecuali untuk beberapa perlawanan. Kita jangan lupa bahawa dia masih muda, bukannya berumur 28 tahun."