Julian Nagelsmann hanya meninggalkan RB Leipzig dengan hati yang berat demi "peluang unik" di Bayern Munich sambil berikrar akan mencurahkan segala kepakarannya untuk menjulang pasukannya itu sebelum berkelana.

Kedua-dua kelab itu mengesahkan pengurus berkenaan bakal dilantik sebagai pengurus Bayern yang baru apabila bersetuju dengan kontrak lima tahun bermula pada 1 Julai depan.

Bayern, yang di ambang gelaran Bundesliga kesembilan berturut-turut, telah bersetuju untuk menebus kontraknya yang dianggap mencecah €25 juta (RM123.7j ) selepas Hansi Flick memaklumkan mahu melepaskan jawatannya.

Justeru, Nagelsmann mengintai tempat kedua sebagai penamat terbaik bersama Leipzig.

Masih ada peluang untuknya menjulang gelaran pertama bersama kelab yang dikemudinya sejak 2019 itu memandangkan Bayern sudah tersingkir daripada DFB-Pokal menjelang perlawanan separuh akhir dengan Werder Bremen, Sabtu ini.

Pengurus berusia 33 tahun itu membawa mereka menduduki tangga ketiga termasuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu -- pencapaian sulungnya selepas meninggalkan Hoffenheim -- namun mengakui jawatan di Bayern terlalu sukar untuk ditolak.

"Saya akan meninggalkan RB Leipzig dengan hati yang berat," kata Nagelsmann kepada laman sesawang kelab itu.

"Saya berkesempatan melatih sebuah pasukan istimewa di sini, di sebuah kelab dengan peluang dan keadaan yang menarik untuk bekerja.

"Pengembaraan kami ke separuh akhir UCL pastinya akan menjadi kemuncak ketika kami bersama. Ia adalah saat yang tidak akan saya lupakan.

"Kami sedang menikmati kempen Bundesliga yang terbaik dalam sejarah kelab ini juga. Kami ingin memastikan ia berakhir dengan penamat terbaik, kemudian menjulang trofi utama buat julung kalinya.

"Masih terlalu awal untuk mengucapkan selamat tinggal dan bercakap mengenai kenangan kerana tugas saya di Leipzig belum selesai."



Menurutnya lagi: "Misi saya di sini mungkin berakhir pada musim panas ini tetapi saya akan mencurahkan segalanya. Kami telah berkembang menjadi sebuah kumpulan yang sangat sukar untuk dihadapi yang akhirnya ingin memenangi gelaran.

"Leipzig adalah kelab istimewa -- namun, saya akan pergi. Saya tidak mampu menyembunyikan hakikat bahawa kedudukan pengurus di Bayern menarik minat saya dan saya ingin merebut pekerjaan ini sekiranya berpeluang.

"Kedudukan di FC Bayern adalah peluang yang unik buat saya. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Oliver Mintzlaff dan ahli lembaga pengarah yang lain di RB Leipzig kerana sudi mencari jalan keluar untuk saya ke FC Bayern dan merealisasikan hasrat saya.

"Sekarang kami perlu mengalihkan perhatian penuh kepada tiga baki perlawanan Bundesliga dan tentu saja pertemuan separuh akhir DFB-Pokal untuk mencuba dan menamatkan musim ini dengan kejayaan."