BAYERN 3 COLOGNE 2

Julian Nagelsmann menegaskan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki Bayern Munich selepas mengalahkan Cologne 3-2 di tempat sendiri, sebentar tadi.


Dua gol daripada Serge Gnabry selepas jaringan pembukaan Robert Lewandowski memastikan pengurus baru Bayern itu memenangi perlawanan pertama Bundesliga dalam percubaan keduanya.

Juara Jerman itu yang gagal mengungguli perlawanan sulungnya buat julung kalinya dalam tempoh 10 tahun apabila sekadar seri 1-1 dengan Borussia Monchengladbach, minggu lalu, lantas Nagelsmann membuat perbandingannya terhadap kedua-dua perlawanan berkenaan.

"Satu keputusan yang baik," kata pengurus berusia 34 tahun itu kepada wartawan.

"Ini adalah satu perlawanan yang 'liar', sama seperti ketika menentang Gladbach.

"Masih banyak yang harus kami lakukan dan perbaiki. Kami terlalu kerap kehilangan bola dan kami perlu melakukannya dengan lebih baik.

"Bola sepak adalah mengenai keputusan dan pada akhirnya ia bagus dari sudut pandangan kami hari ini."






Jaringan berganda Gnabry itu merupakan yang keempat ke atas Cologne, sementara gol Lewandowski dari jarak dekat berkenaan menyamai catatannya sendiri untuk merakamkan gol dalam 12 perlawanan Bundesliga berturut-turut.

Bagaimanapun, Leroy Sane yang dikeluarkan sebaik mereka menyambung permainan menerima cemuhan orang ramai.

"Secara keseluruhannya kami tidak beraksi dengan baik dalam babak pertama," kata Nagelsmann lagi.

"Saya terdengar siulan ramai (dituju ke arah Sane). Peminat harus menyokong pemain mereka sendiri -- selain daripada tindakan itu tidak akan membantu."




Penggantinya, Jamal Musiala, mencipta impak apabila mencetuskan ilham kepada jaringan Lewandowski lalu Nagelsmann memuji "aksi luar biasa" pemain antarabangsa Jerman itu sambil memuji kemampuannya menyerang ketika satu lawan satu.

Ditanya adakah Bayern akan aktif dalam jendela perpindahan selepas hanya mengeluarkan dana besar mendapatkan Dayot Upamecano, Nagelsmann menjawab: "Perpindahan? Kami akan melihat apa yang mungkin berlaku. Sekiranya ada sesuatu maka kami akan mengumumkannya. Jika tidak, kami akan bekerja dengan sumber yang ada."