Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain, menuntut para pemainnya untuk bangkit ketika melayani kunjungan UiTM FC esok.

Tiga mata penuh menjadi buruan sang penyu untuk mereka terus mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Tewas 4-1 di tangan Penang FC Sabtu lalu sememangnya sesuatu yang tidak dijangka Terengganu apatah lagi pada ketika sang penyu baru sahaja mencalar rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT).

Justeru Nafuzi mahu skuad kendaliannya melupakan kekalahan itu dan kembali meletakkan Terengganu di landasan kemenangan.

Berdepan pasukan tercorot liga UiTM, Nafuzi mahu para pemainnya tampil lebih agresif demi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman.

"Kami berharap pemain-pemain bangkit daripada kesilapan ketika bertemu Penang, mereka menyedari apa yang telah berlaku dan mahukan permulaan separuh kedua saingan liga meraih tiga mata," kata Nafuzi.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu juga mengharapkan Terengganu dapat memperbaiki prestasi dilaman sendiri.

Sepanjang pusingan pertama, pasukannya mencicirkan tujuh mata dan dia mahu rekod lebih baik dapat dilakar dalam pusingan kedua.

"Kami mahu bermula dengan agresif sejak permulaan permainan dan memperoleh apa yang kami inginkan dalam perlawanan esok."