Jurulatih sementara, Mohd Nafuzi Zain, gembira dengan aksi pertahanan tempatan Terengganu FC (TFC) dalam kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurutnya, gandingan bek tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Muhammad Mohd Fauzi, berfungsi dengan baik menangani situasi bola mati pihak lawan.

Walaupun merasai ketiadaan pertahanan import, Nafuzi berkata dia berpuas hati kepercayaan diletakkannya dibalas dengan kemenangan berharga.

"Memang sukar untuk beraksi dengan pemain tempatan memandangkan kesemua pasukan mempertaruhkan barisan penyerang import.

"Tapi bagi saya, ini cabaran untuk mereka membuktikan kemampuan dan saya gembira dengan aksi keseluruhan selain Muhammad yang turut menjaringkan satu gol," jelasnya.

Dalam aksi di Kuala Terengganu itu, TFC membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti ketua pasukan, Lee Tuck, pada minit ke-36.

Kuala Lumpur hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Darko Markovic menyambar bola muntah hasil percubaan awal Paulo Josue.

Kemasukan Abdul Malik Mat Ariff mengubah rentak TFC untuk kembali mendahului menerusi jaringan Muhammad (m-75) sebelum Malik memastikan kemenangan 3-1 pada minit ke-82.

"Kuala Lumpur juga bermain baik, terutamanya 45 minit pertama, di mana mereka cukup teratur sehingga menyukarkan kami mencipta peluang.

"Walaupun tahap kecergasannya belum memuaskan, kami memerlukan kelicikan Malik dan strategi pada babak kedua membuahkan hasil," tambah Nafuzi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)