Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, enggan menghukum Rahadiazli Rahalim walaupun kesilapan mudah daripada penjaga gol muda itu memaksa skuad Peteh berkenaan menelan kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Paroi malam tadi.

Negeri Sembilan terlebih dahulu berada di depan menerusi sentuhan Yashir Pinto pada minit ke-17 tetapi kelebihan itu hanya bertahan selama dua minit sebelum Tchetche Kipre kembali menyamakan kedudukan buat Terengganu pada minit ke-19.

Bagaimanapun, kesilapan Rahadiazli terlepas bola daripada dakapannya menyaksikan Gustavo Almeida berhasil menjaringkan gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-52.

Bagaimanapun, Nafuzi enggan menghukum penjaga gol itu sebagai punca kekalahan berkenaan.

"Manusia sudah pasti akan melakukan kesilapan," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Daripada segi jaringan itu, ia memang kesilapannya tetapi kita tidak boleh menghukumnya.

"Kerana dia masih muda dan ada potensi untuk pergi jauh.

"Ia akan menjadi pengalaman untuk dia belajar agar tidak mengulanginya pada masa akan datang.

"Tetapi kekalahan ini merupakan sesuatu yang merugikan pasukan," katanya.