Penjaga Iceland, Hannes Thor Halldorsson, telah sah berhijrah ke Qarabag untuk beraksi dalam Liga Perdana Azerbaijan selepas menafikan sepakan penalti Lionel Messi dalam saingan Piala Dunia.

Halldorsson menempah nama ketika menafikan Messi daripada meledak gol ketika Iceland seri 1-1 dengan Argentina dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Pemain berusia 34 tahun itu dibolosi lima gol dalam tiga perlawanan, sekali gus meletakkan Iceland pasukan tercorot tetapi Qarabag -- yang berjaya seri dengan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim 2017-18 -- mendapatkan khidmat Halldorsson.

Perpindahan itu menamatkan dua musim di Randers, yang menyaksikannya beraksi dalam 65 perlawanan dalam Liga Super Denmark.

Qarabag, yang memenangi Liga Perdana Azerbaijan musim 2017-18, sedang bersiap sedia untuk berdepan kelab Slovenia, Olimpija Ljubljana, dalam saingan kelayakan UCL pada 11 Julai ini.