Rafael Nadal berhasrat untuk membuat kemunculan semula bermula dalam siri Jelajah ATP bulan depan dan merancang untuk beraksi dalam Terbuka Australia 2022.

Juara utama 20 kali itu tersisih sejak kekalahan kepada Lloyd Harris dalam Terbuka Citi Ogos lalu.

Sejak itu, pemain berusia 35 tahun tersebut terpaksa menarik diri daripada Terbuka Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Sukan Olimpik Tokyo selepas tewas kepada Novak Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Perancis gara-gara kecederaan kaki yang berulang.

Nadal telah meluangkan masa berlatih di Mallorca bulan ini selepas menerima rawatan di Barcelona tetapi mengakui tidak pasti bila akan kembali beraksi.

Bercakap dalam satu majlis bersama penaja di Paris, Nadal berkata dia berharap dapat menyertai Kejohanan Tenis Dunia bulan depan sebelum berkemungkinan besar terbabit dalam grand slam pertama tahun depan -- kejohanan yang dimenanginya sekali iaitu pada 2009.

"Rancangan saya adalah untuk beraksi di Abu Dhabi pada bulan depan, kemudian beberapa kejohanan lagi sebelum ke Australia dan terbabit dalam Terbuka Australia. Itulah matlamat saya," katanya.

“Kami bekerja keras untuk merealisasikannya.

"Kecederaan di kaki saya masih perlukan sedikit masa untuk pulih tetapi saya sudah berlatih hampir sejam setengah pada setiap hari jadi itu petanda positif. Beberapa hari ini lebih baik daripada yang lain tetapi saya mula berasa lebih banyak perkara yang positif berbanding negatif.

"Jadi saya berada di landasan yang tepat. Saya sedang menjalani persiapan, saya berasa lebih baik. Saya sedia kembali ke gelanggang."

Pemain nombor lapan dunia, Casper Ruud, dan pemain nombor 13 dunia, Denis Shapovalov, merupakan dua nama besar dalam Jelajah ATP yang mengesahkan akan bertanding di Abu Dhabi, bermula 16-18 Disember.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo wanita, Belinda Bencic, dan juara sensasi Terbuka AS, Emma Raducanu, juga telah mendaftar untuk membuat kemunculan sulung kejohanan itu.

Terbuka Australia yang dimenangi oleh Novak Djokovic tahun ini pula dijadualkan bermula pada 17 Januari 2022.