Pemain tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal, berdepan kemungkinan menentang bintang Switzerland, Roger Federer, seandainya layak ke separuh akhir kejohanan Terbuka Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pemain dari Sepanyol itu tidak mahu memikirkan kebarangkalian itu, sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap aksi suku akhir apabila turun menentang pemain muda Russia, Andrey Rublev.

Nadal terlebih dahulu menewaskan Alexandr Dolgopolov dari Ukraine dengan straight set 6-2, 6-4, 6-1 untuk menempah tiket dalam kelompok lapan terbaik bagi bertemu Rublev yang terlebih dahulu menewaskan pemain Belgium, David Goffin, 7-5, 7-6 (7-5), 6-3.

“Anda boleh bertanya saya tentangnya (aksi separuh akhir menentang Federer) dua hari lagi, jika saya memenangi perlawanan menentang Rublev. Saya akan gembira untuk berada dalam separuh akhir seandainya ia berlaku.

“Kini, saya perlu berdepan dengan Rublev terlebih dahulu. Saya perlu menghormatinya dan sudah pasti ia bakal menjadi aksi yang sukar.

"Dia telah mengharungi aksi yang hebat, menewaskan beberapa pemain ternama seperti Grigor Dimitrov dan menumbangkan Goffin dengan straight set,” kata Nadal.

Ketika ditanya mengenai kemenangannya ke atas Dolgopolov, pemain berusia 31 tahun itu lega prestasinya semakin meningkat dan berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi dalam pusingan suku akhir.

“Berbanding sebelum ini, saya lebih tenang ketika berada di gelanggang.

“Kini saya berada dalam suku akhir, saya perlu terus bertarung dan matlamat saya adalah beraksi lebih baik daripada aksi hari ini,” tambahnya.