Rafael Nadal mengakui Novak Djokovic berkemungkinan akan menamatkan kariernya dengan gelaran terbanyak grand slam dalam sejarah acara perseorangan tenis lelaki untuk mendahului pencapaian bintang Sepanyol itu dan Roger Federer.

Tiga bintang utama itu telah mendominasi Jelajah ATP sejak sekian lama dengan ketiga-tiganya telah mengumpul 20 gelaran utama yang menyaksikan Djokovic mengumpul tiga daripada empat kejuaraan yang direbut pada 2021.

Djokovic, yang bakal diumumkan pemain nombor satu dunia buat rekod kali ketujuh hujung tahun ini, berpeluang mengungguli kesemua gelaran grand slam jika tidak disekat Daniil Medvedev dalam final Terbuka Amerika Syarikat yang lalu.

Nadal, sebaliknya, terlepas sebahagian besar musim ini akibat kecederaan kaki sementara Federer juga diketepikan untuk tempoh yang agak lama berikutan memerlukan pembedahan lutut ketiga dalam tempoh 18 bulan.

Nadal mungkin kembali beraksi dalam Terbuka Australia pada awal tahun depan -- gelaran itu mungkin tidak akan dipertahankan Djokovic kerana peraturan vaksin -- tetapi dia masih menjangkakan pemain Serbia itu akan memegang rekod gelaran utama terbanyak sebaik ketiga-tiganya bersara.

"Djokovic berada di kedudukan terbaik untuk menjadi pemain lelaki yang menggondol trofi terbanyak grand slam," kata Nadal kepada Movistar.

"Saya tidak perlu menipu diri sendiri –- Federer dan saya berada di kelas tersendiri. Bagaimanapun, Djokovic bermain dengan baik dan sedang dalam detik yang menarik.

"Inilah realitinya dan kita tidak boleh mengabaikannya. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh sembilan bulan lagi tetapi Djokovic merupakan pilihan utama ketika ini."




Nadal muncul juara di Roland Garros pada 2020 tetapi sejak itu hanya beraksi dalam dua kejohanan utama sementara kali terakhir Federer -– yang berharap untuk kembali ke peringkat Jelajah pada 2022 -– menambah koleksi gelaran grand slam adalah menerusi Terbuka Australia pada 2018.

Nadal turut gembira dengan perkembangan pemain seperti Stefanos Tsitsipas, Alexander Zverev dan Medvedev, yang hanya melepaskan satu set sepanjang kejohanan bagi menafikan tahun sempurna buat Djokovic.

"Mereka bukan lagi generasi seterusnya, kita tidak perlu terus menggunakan label sebegitu," kata Nadal mengenai bintang utama baru tersebut dalam kancah itu.

"Pemain seperti Medvedev, Zverev atau Tsitsipas telah pun melepasi peringkat generasi seterusnya, mereka adalah generasi masa kini."