Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mendedahkan bahawa kelab itu menerima bantuan bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal, untuk mendapatkan khidmat Marco Asensio pada 2014.

Asensio mempamerkan persembahan mantap dalam musim pertama ketika menyarung jersi Real Mallorca, sekaligus menarik minat gergasi LaLiga, Real dan Barcelona.

Los Blancos memenangi persaingan tersebut dengan mendapatkan tandatangan pemain itu pada Disember 2014, sebelum meminjamkannya semula ke Mallorca dan kemudian ke Espanyol.

Dan presiden kelab, Perez, mendedahkan bahawa Nadal memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan khidmat pemain tengah itu berhijrah ke Santiago Bernabeu.

"Saya telah menghubungi Nadal dan memintanya untuk bercakap dengan bapa saudaranya, [bekas pemain Barca ] Miguel Angel, yang merupakan pengarah sukan Mallorca," kata Perez.

"Saya memberitahu kepada Nadal supaya berkata kepada bapa saudaranya bahawa Real mahu membeli Asensio."

Asensio kini telah beraksi dalam kesebelasan utama Real dan menjaringkan gol keempat ketika menewaskan Juventus dalam aksi final Liga Juara-Juara, awal bulan ini.