Luciano Spalletti berkata adalah mustahil untuk menyekat Mauro Icardi di dalam kawasan penalti walaupun jurulatih Inter Milan berkenaan memberitahu kaptennya itu dia masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.

Seperti pesaing utama, Napoli dan Juventus, Inter telah memenangi kesemua empat perlawanan pembukaan Serie A pada musim ini menjelang pertemuan dengan Bologna, awal pagi nanti.

Icardi sudah menemui lima gol selepas menjaringkan 24 gol dalam saingan liga pada musim lalu.

Spalletti mengakui Inter memerlukan bintang seperti Icardi, Ivan Perisic dan penjaga gol, Samir Handanovic, tetapi menegaskan ia adalah persembahan keseluruhan pasukan yang boleh membuat mereka berjaya.

"Saya memuji prestasinya tetapi dia boleh beraksi lebih baik," kata Spalletti dalam sidang media pra-perlawanan.

"Adalah mustahil untuk mengekang Icardi dalam kawasan penalti, dia tajam. Tetapi ada ruang untuk diperbaiki. Dia telah menerima banyak pujian tetapi pasukan turut memainkan peranannya.

"Icardi dan Perisic boleh melakukan banyak perkara untuk pasukan dan mereka melakukannya dengan baik. Tetapi seperti yang kita perlukan, mereka memerlukan pasukan.

"Jadi, kami semua perlu bekerja keras supaya dapat mecapai potensi penuh kami. Kami perlu bekerja sebagai satu kumpulan.

"Kemahiran individu adalah penting. Semua pasukan hebat tahu betapa pentingnya individu tetapi jika mereka tidak dapat membuat perbezaan, hanya permainan kolektif membolehkan anda memenangi perlawanan."

Inter meraih kemenangan 2-0 di Crotone pada Sabtu lalu hasil gol lewat daripada Milan Skriniar dan Perisic tetapi penjaga gol, Handanovic, dipilih untuk menerima pujian.

Spalletti berkata: "Crotone bermain sebagai satu pasukan dan ia menyebabkan masalah bagi kami pada Sabtu lalu.

"Mereka bermain dengan baik dan kami juga berjaya memenangi perlawanan, mungkin dengan persembahan individu seperti Handanovic.

"Handanovic melampaui kemampuannya, dia sangat baik."