Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, berkata 'mustahil untuk memberikan tarikh' untuk kembalinya saingan Serie A ekoran penularan wabak koronavirus.

Serie A ditangguh sejak Mac lalu ekoran krisis COVID-19, namun hampir kesemua pasukan telah mula menjalani latihan secara individu minggu ini.

Spadafora sebelum ini menjelaskan latihan berpasukan tidak dapat diadakan sehingga 18 Mei, di sebalik kerajaan membenarkan pemain-pemain kembali ke fasiliti kelab.

Dengan saingan Bundesliga di Jerman dijangka bermula pertengahan bulan ini, Spadafora berkata, "Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) telah mencadangkan protokol, di mana ahli teknikal-saintifik akan menilainya hari ini.

"Kami berharap mendapat lampu hijau dalam hal ini.

"Kami amat berharap musim ini dapat disambungkan semula, tetapi buat masa ini amat sukar untuk memberikan tarikh. Kita harus melihat bagaimana perkembangan keluk penularan covid-19 dalam tempoh dua minggu akan datang."

Juara bertahan, Juventus, mendahului satu mata ke atas Lazio selepas 26 perlawanan setakat ini.
Youtube Embed