Peluang Cristiano Ronaldo menyertai Atletico Madrid daripada Manchester United adalah mustahil, menurut Presiden Atletico, Enrique Cerezo.

Khabar angin berterusan sepanjang jendela perpindahan ini mengaitkan bekas bintang Real Madrid itu ingin angkat kaki selepas hanya semusim kembali ke Old Trafford apabila gagal membantu The Red Devils ke kancah Liga Juara-Juara 2022-23.

Pemenang lima Ballon d'Or itu telah dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah termasuk Chelsea dan Bayern Munich, manakala spekulasi terbaru mengatakan dia mungkin beralih angin ke Atletico.

Begitupun, berita itu pantas ditepis Cerezo apabila memberitahu COPE: "Saya tidak tahu siapa yang mengadakan cerita tentang Cristiano Ronaldo ke Atletico Madrid.

"Ia pastinya tidak benar. Agak mustahil untuk dia datang ke Atletico Madrid."

Kelibat Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes, berada di padang latihan United semalam bagi perbincangan mengenai masa depannya.

Atletico akan menentang United dalam perlawanan persahabatan pra-musim, Sabtu ini.