Selepas mengalami kekalahan kedua, penyerang import kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai, menggesa rakan sepasukan agar bangkit lebih garang untuk melayan skuad UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, Jumaat ini.

Mustafa, yang mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Eropah dan Asia, jelas kecewa dengan kekalahan kedua musim ini memandangkan The Red Warriors (TRW) berkunjung ke Pasir Gudang dengan motivasi tinggi selepas menumpaskan UKM FC 1-0.

"Biasalah adat dalam bola sepak. Ada menang dan juga kalah. Kami harus sedia menghadapi semua keadaan itu.

"Keseluruhannya, saya cukup kecewa dengan prestasi sendiri dan kami gagal kekalkan momentum kemenangan," katanya.

Mustafa, yang bergandingan dengan penyerang utama, Raul Tarragona, gagal memecah zon tengah JDT II yang dikawal kemas kapten, Shakir Shaari.

"Segala asakan kami tidak menjadi dan mudah dipatahkan.

"Selepas lawan mendapat gol pertama, kami mula tertekan dan gol kedua membunuh sisa perjuangan.

"Kami sudah belajar daripada kesilapan dan perlu bangkit segera supaya tidak jauh tercicir," katanya.

Ditanya mengenai kemarau gol yang dihadapi selepas empat perlawanan, Mustafa akur rezeki masih belum berpihak kepadanya.

"Saya yakin, jika kerja keras, tuhan akan tolong.

"Gol pertama akan hadir tetapi kemenangan untuk Kelantan adalah perkara paling utama."

Kekalahan kepada JDT II menyaksikan TRW berada di tangga kelapan liga, kekal dengan empat mata hasil daripada satu kemenangan dan sekali seri.

Kredit Foto: Kelantan FA