Argentina boleh bernafas semula. Saingan Kumpulan D, Piala Dunia Russia kini terbuka sesudah Nigeria melonjak ke tangga kedua di belakang Croatia, sekali gus menjadikan pertembungan di antara pasukan kendalian Gernot Rohr itu dengan wakil Amerika Selatan berkenaan dalam aksi terakhir kumpulan sebagai penentu.

Nigeria membuktikan keupayaan mereka di Russia, dengan melakukan apa yang England gagal lakukan di Perancis pada 2016, iaitu menewaskan Iceland awal hari ini.

Ahmed Musa mencetuskan inspirasi buat Nigeria tepat pada masanya. Dia tenggelam di Leicester City, tidak pernah mempamerkan kualiti menarik untuk dipertontonkan dalam Liga Perdana, namun Arena Volgograd menawarkan kemampuan sebenarnya selepas mengukir nama di CSKA Moscow.

Aksi dalam separuh masa pertama menghiburkan, namun hampir berakhir tanpa jaringan.

Nigeria muncul pasukan pertama sejak Korea Selatan, empat tahun lalu, yang gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat dalam babak pertama dalam perlawanan Piala Dunia. Mereka melancarkan 10 hantaran lintang tetapi sama sekali gagal menyudahkannya, sebaliknya dalam tempoh 18 minit, Iceland menyamai jumlah percubaan tepat ketika menentang Argentina.

Terima kasih atas ucapan Rohr semasa rehat separuh masa. Sebaik usia permainan mencecah 14 saat, Nigeria mencetuskan gelisah Iceland menerusi percubaan Oghenekaro Etebo ke arah pintu gol Hannes Halldorsson.

Tiga minit kemudian, mereka meraih hasilnya -- hantaran silang Victor Moses bukanlah yang terbaik, namun Musa bernasib baik dalam sentuhan pertamanya untuk dia menyempurnakan peluang terhidang itu.

Situasi itu memaksa Iceland untuk mengatur asakan lalu permainan bertukar rancak, sekali gus memaksa Iceland mengabaikan kekentalan pertahanan mereka. Musa mengambil kesempatan itu sepenuhnya ketika permainan bersisa 15 minit dengan memperdayakan barisan pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menyudahkan peluang itu.

Pemain berusia 25 tahun itu merakamkan keempat-empat gol untuk Nigeria setakat ini dan tiada pemain Super Eagles lebih cemerlang daripadanya. Hanya palang gol menafikannya untuk melakar hatrik. Tidak banyak pasukan yang memiliki pemain yang benar-benar berpengaruh dalam kalangan 32 pasukan di Russia.

Ia juga menawarkan peluang terakhir Argentina yang dikendalikan Jorge Sampaoli manakala Lionel Messi perlu memainkan peranan untuk menghidupkan api perjuangan mereka ketika menghadapi Nigeria di St Petersburg, Selasa nanti sekalipun adalah tidak adil meletakkan fokus ke arah Messi semata-mata.

Ini juga merupakan detik terbaik untuk menguji Nigeria dan Musa -- bintang penyerang mereka yang tidak lagi boleh dipertikaikan -- untuk menghitung nasib dalam pusingan akhir pada masa getir.