Ronald Koeman berasakan pegawai perlawanan keempat mahu menjadi "bintang tumpuan" selepas ketua jurulatih Barcelona itu dibuang padang ketika pasukannya tewas 1-2 kepada Granada dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi.

Gol daripada bintang utama, Lionel Messi, pada minit ke-23 kelihatan menjadi petanda bahawa Barca akan memperoleh kemenangan kelima berturut-turut di laman sendiri dan memperoleh tiga mata untuk memintas seteru, Real Madrid, dan pendahulu liga, Atletico Madrid.

Bagaimanapun, Darwin Machis menyamakan kedudukan buat pelawat dan Koeman kemudian diarahkan keluar padang sebelum Jorge Molina menanduk masuk gol kemenangan Granada pada 11 minit terakhir untuk Barca ketinggalan dua mata daripada kedudukan teratas berbaki lima perlawanan.

Koeman berkata dia tidak mengeluarkan sebarang perkataan untuk menghina pegawai keempat perlawanan itu dan memberi bayangan bahawa pihaknya akan mencabar keputusan berkenaan.

"Saya tidak faham mengapa saya dibuang padang. Mereka (berkata) saya tidak menghormati pegawai keempat," katanya seperti yang dipetik Marca.

"Saya tidak faham mengenai kad merah itu. Berdasarkan delegasi, ia disebabkan sikap tidak menghormati pegawai keempat.

"Saya tidak berkata apa-apa. Saya tidak merendahkannya atau apa-apa. Tetapi jika pegawai keempat itu mahu menjadi bintang tumpuan malam ini.... terima kasih.

"Ayuh lihat apa yang dikatakan dalam laporan. jika laporan itu berkata sesuatu yang bukan dari mulut saya, saya perlu lakukan sesuatu," katanya.

Koeman menerima bahawa pasukannya melakukan kesilapan dalam kekalahan itu tetapi pengendali berbangsa Belanda berkenaan masih enggan hilang kepercayaan bahawa mereka mampu untuk meneruskan pemburuan kejuaraan kali ini.

"Kami hilang fokus dalam babak kedua dan melakukan kesilapan ketika bertahan.

"Kami perlu menerima kekalahan hari ini. Ia adalah realiti. Kami mempunyai peluang untuk menang tetapi kami masih ada lima perlawanan untuk dilalui. Setiap satunya mempunyai kesukaran tersendiri. Kami perlu melakukan persiapan terbaik menjelang Ahad depan.

"Masih ada kemungkinan. Kami perlu menerima kekalahan ini, menganalisis dan bersedia untuk saingan ini.

"Ia satu tamparan besar apabila ia tidak lagi terletak di tangan kami. Kami kecewa. Kami masih ada lima perlawanan untuk bergelar juara. Bagi kami, ia sama seperti perlawanan lain," katanya.