Thomas Muller menjadi pemain padang (bukan penjaga gol) pertama merekodkan 600 penampilan buat Bayern Munich sejak penubuhan Bundesliga pada 1963 selepas diturunkan dalam perlawanan menentang Augsburg awal pagi tadi.

Muller tiba daripada akademi Bayern dan diberikan penampilan pertama oleh Jurgen Klinsmann pada Ogos 2008 tetapi hanya melakukan empat penampilan daripada 34 perlawanan musim itu.

Ketibaan Louis van Gaal selaku jurulatih pasukan itu telah melonjakkan nama Muller dan dia hanya terlepas 29 perlawanan Bundesliga sejak permulaan musim 2009-10 selain menjadi satu-satunya pemain yang merekodkan sekurang-kurangnya 28 perlawanan dalam setiap kempen sepanjang tempoh itu.

Perlawanan awal pagi tadi menjadi aksi yang ke-395 pemain itu dalam Bundesliga, rekod yang tidak dapat disaingi mana-mana pemain sejak penampilan pertamanya dan walaupun sudah sekian lama beraksi, Muller tidak menunjukkan sebarang kemerosotan dan mengekalkan prestasinya.

Pada usia 32 tahun, Muller kini boleh menyasarkan untuk memecahkan rekod penampilan terbanyak sepanjang zaman Bayern yang dipegang penjaga gol, Sepp Maier, sebanyak 700 penampilan.