AUGSBURG 1 BAYERN 0

Thomas Muller tergamam dengan kekalahan Bayern Munich malam tadi untuk menempa kekalahan pertama Bundesliga musim ini.


Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu bertandang ke Augsburg malam tadi, tetapi deretan peluang yang gagal diterjemahkan jentera serangan mengundang padah apabila Augsburg menjamin kemenangan menerusi jaringan tunggal Mergim Berisha ketika belum melewati sejam permainan.

“Saya tergamam. Kami tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan ini.

"Kami mencipta lebih banyak peluang tetapi tidak menyudahkannya dengan cukup baik," kata Muller yang kecewa gergasi Bavaria itu gagal keluar daripada hatrik seri dalam kancah domestik.

Begitupun, tonggak Jerman itu enggan tunduk dengan tekanan terhadap kemampuan jentera serangan mereka yang longlai kebelakangan ini sambil menuntut rakan sepasukannya agar segera memperkemaskan permainan.

“Kami perlu bekerjasama dengan skuad yang kami ada.”