Thomas Muller percaya Jerman memiliki skuad yang lebih baik berbanding empat tahun lalu bagi menghadapi saingan Piala Dunia Russia.

Skuad kendalian Joachim Low itu muncul juara dunia di Brazil hasil kemenangan 1-0 daripada jaringan Mario Gotze dalam masa tambahan.

Selepas 10 kemenangan daripada 10 perlawanan aksi kelayakan, Jerman kembali ke saingan tertinggi dunia untuk mempertahankan gelaran dan Muller yakin kualiti yang dimiliki pasukannya jauh lebih baik berbanding empat tahun lalu.

"Secara individu, tanpa diragui kami memiliki pasukan yang lebih bai, tetapi bola sepak sentiasa berkembang," katanya.

"Negara lain sudah mula meningkatkan mutu permainan mereka dan pemain-pemain mereka juga lebih tajam berbanding sebelum ini.

"Membandingkan generasi yang berbeza tidak akan membawa anda ke mana-mana. Anda perlu terus berkembang dalam bola sepak dan kami sudah bersedia menghadapi Piala Dunia.

Muller juga memuji Low yang mengubah gaya permainan Jerman yang telah diterapkan sejak lapan tahun lalu.

"Kami menerapkan falsafah yang sama sejak 2010. 2014 merupakan hasil kejayaan kami, bermain dengan gaya kami sendiri.

"Kami gemar mengawal bola dalam permainan. Bukan ia bermaksud saya tidak suka dengan gaya permainan terdahulu. Secara peribadi, saya lebih memilih untuk bermain mencari peluang untuk menyumbat gol.

"Kami telah menjadi sebuah pasukan yang mengawal penguasaan bola, melakukan hantaran-hantaran pendek dan mencari peluang terbaik untuk mencipta jaringan."