Bayern Munich mengumumkan bahawa penyerangnya, Thomas Muller, sekali lagi diuji positif COVID-19.

Pemain veteran itu dijangkiti virus berkenaan buat kali pertama pada Februari 2021, tidak lama selepas saingan Piala Dunia Kelab di Doha.

Selepas setahun, Muller sekali lagi diuji positif jangkitan koronavirus dan pasukan juara bertahan Bundesliga itu mengesahkan bahawa dia sedang menjalani tempoh kuarantin.

Ia menyaksikan Muller akan terlepas perlawanan menentang Eintracht Frankfurt pada hujung minggu ini, di mana pasukan bimbingan Julian Nagelsmann itu sedang berusaha untuk melebarkan kelebihan enam mata mereka di puncak Bundesliga.

Muller berkemungkinan akan dapat diturunkan kembali ketika menentang Bayer leverkusen pada 5 Mac ini tetapi bergantung kepada keputusan ujian negatif dan tempoh latihannya.