Eden Hazard menjelaskan masa depannya di Chelsea bergantung kepada pemain yang baru dipancing kelab sebelum kempen musim depan.

Pegawai di Stamford Bridge dilaporkan sedang cuba memujuk Hazard untuk memuktamadkan masa depannya di kelab itu dengan menandatangani kontrak baru bernilai bernilai sekitar £300,000 (RM1.,6 juta) seminggu.

Pemain antarabangsa Belgium itu bagaimanapun belum bersetuju dengan sebarang terma baru sehingga menimbulkan khabar angin bahawa dia mahu meninggalkan Chelsea meskipun memiliki kontrak sehingga 2020.

Real Madrid dikaitkan dengan pemain berusia 27 tahun itu manakala juara Liga Perdana, Manchester City, turut dikatakan mempertimbangkan tawaran ke atas bekas tonggak Lille itu.

Bagaimanapun, Hazard mendakwa perancangannya boleh dipengaruhi oleh muka baru pada minggu-minggu mendatang.

"Saya menunggu pemain baru untuk musim depan," kata Hazard. "Saya mahu pemain yang baik kerana saya mahu memenangi Liga Perdana pada musim depan."

Hazard juga menyedari bahawa kontraknya yang akan datang merupakan salah satu daripada tawaran terbaik di kemuncak kariernya sambil menambah: "Itulah sebabnya saya mengambil masa. Ini sesuatu yang besar, jadi saya perlu memikirkan banyak perkara tetapi satu perkara yang pasti: Saya gembira di sini. "

Chelsea mengharungi musim kedua yang sukar di bawah Antonio Conte apabila menamatkan kempen liga di tangga kelima, seterusnya kehilangan tempat dalam Liga Juara-Juara.

Hazard, bagaimanapun, menegaskan dia tidak menjangkakan perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester United akan menjadi aksi terakhirnya bersama The Blues yang disertai sejak 2012.

"Seperti yang telah saya berkali-kali katakan sebelum ini, saya tidak fikir final Piala FA ini sebagai perlawanan terakhir saya untuk Chelsea," katanya. "Ini perlawanan terakhir musim ini, itu sahaja.

"Selepas Piala Dunia, kami akan bersedia untuk musim depan tetapi dalam fikiran, saya akan tetap di sini. Saya mempunyai satu tugasan besar minggu ini, saya hanya mahu menang, begitu juga mereka.

"Kami adalah Chelsea dan kami memerlukan trofi pada penghujung musim ini. Pada masa ini, kami tidak mempunyai apa-apa.

"Kami tidak layak untuk Liga Juara-Juara, jadi musim ini sudah pun buruk. Kini kami boleh menyelamatkan musim ini dengan trofi ini, kami akan memberikan segala-galanya," katanya lagi.