AC MILAN 2 INTER MILAN 3

Ketua jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, berang dengan pergaduhan di antara Franck Kessie dan Lucas Biglia di bangku simpanan pasukannya ketika mereka tewas 2-3 kepada Inter Milan sambil memberikan amaran yang dia mungkin akan terlibat dengan insiden itu jika dia menyedarinya lebih awal.


Gol penalti Lautaro Martinez membuktikan Inter pasukan yang lebih baik berbanding Milan untuk mereka melonjak ke tangga ketiga Serie A, namun bukan itu yang membuatkan Gattuso berang selepas tamat perlawanan.

Kessie dikeluarkan pada minit ke-69 dan dia kelihatan amat tidak berpuas hati ketika digantikan dengan Andrea Conti.

Ketika Kessie kembali ke bangku pemain, Biglia kelihatan cuba berkata sesuatu kepadanya, namun ia dibalas dengan tingkah laku agresif yang memaksa rakan sepasukan lain meleraikan pergaduhan itu.

Kedua-dua pemain itu memohon maaf selepas tamat perlawanan, namun Gattuso enggan mengulas perkara itu. dalam sidang media.

"Ia mungkin kesilapan yang dilakukan pemain.

"Dalam beberapa hari lagi, saya akan berbincang dengan mereka yang terlibat.

"Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas apa-apa.

"Saya tidak dapat menerimanya. Jika anda terlalu marah sekalipun, anda bukannya budak pra-sekolah.

"Mujur saya tidak nampak, kerana jika saya menyedari insiden itu, saya mungkin akan melakukan tindakan bodoh untuk terlibat dengan pergaduhan itu," katanya.

Kekalahan kepada Inter itu menamatkan rekod lima kemenangan berturut-turut Milan dalam Serie A.