SELANGOR 1 NEGERI SEMBILAN 0

Selangor muncul juara apabila menumpaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam final Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 di Padang SMK Kubang Kerian 3, pagi tadi.


Jaringan penyerang cilik, Muhammad Rafid Irsyad Rosli, pada minit ke-35 menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti sudah cukup untuk menobatkan skuad Merah Kuning itu sebagai juara.

Biarpun cuba mencari gol penyamaan dalam babak kedua, penyerang skuad Hoben Jang Hoben itu mendapati barisan pertahanan dan penjaga gol Selangor, Mohd Aizul Hakim Zabni, kental bertahan.

Jurulatih Selangor, Mat Dinos Talib, bersyukur dengan kejayaan itu sambil berpuas hati dengan prestasi pemainnya di pentas final.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami. Negeri Sembilan bertahan dan menyerang dengan baik, cuma kami beraksi dengan penuh disiplin selepas mendapatkan gol pertama.

"Tahniah kepada kedua-dua pasukan yang menjadikan pentas final sebagai medan yang cukup menarik untuk ditonton," katanya.

Terdahulu, dua jaringan Azmeer Masri sudah cukup untuk menjulang Johor sebagai juara dengan menumpaskan juara bertahan, Selangor, 2-0 dalam aksi penentuan B-12 di Padang SK Kubang Kerian 2 untuk bergelar juara edisi kali ini.


Keputusan Penuh B-15 MSSM

Johan: Selangor
Naib Johan: Negeri Sembilan
Ketiga: Johor
Keempat: Kelantan

Keputusan Penuh B-12 MSSM

Johan : Johor
Naib Johan: Selangor
Ketiga: Kedah
Keempat: Sabah