Bangkit daripada ketinggalan, tuan rumah, Kelantan semakin hampir ke suku akhir apabila menumpaskan Kedah dalam aksi kedua kumpulan D, Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 di Padang SMK Kubang Kerian 3, Kota Bharu, petang tadi.

Selepas ketinggalan hasil jaringan penyerang Kedah, Hafiy Hamdan, pada minit ke-14, jentera serangan Merah Putih terus melancarkan serangan untuk memburu jaringan penyamaan.

Hasilnya, lima minit berselang, penyerang lincah, Syafiq Aiman, merembat kencang untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Nabil Hadif Nurhelmi.

Kelantan terus mengasak dan sebelum wisel separuh masa dibunyikan, Mohd Alif Haikal Mokhtar menggembirakan penyokong tuan rumah dengan jaringan kedua hasil rembatan kencang menewaskan Mohd Nabil Hadif.

Jurulatih Kelantan, Wan Mohd Izuan Wan Idris, gembira dengan prestasi pemainnya yang berjaya menyempurnakan peluang terhidang berbanding aksi menentang Labuan, petang semalam.

"Alhamdulillah, pemain tidak mudah panik biarpun ketinggalan. Kami menyusun semula permainan dan berjaya menjaringkan dua gol untuk kemenangan kedua berturut-turut," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Firdaus Ahmad, akur dengan kekalahan itu sambil menyifatkan kesilapan kecil pemainnya menyebabkan mereka berputih mata.

"Insya-Allah, kami akan beraksi lebih baik menentang Labuan petang esok untuk mengintai peluang ke suku akhir," katanya.

Keputusan lain:

PERAK 5 LABUAN 3
SELANGOR 0 MELAKA 0
PUTRAJAYA 1 SARAWAK 0