KELANTAN 2 KUALA LUMPUR 1
(Selepas masa tambahan)

Penyerang gantian, Danial Hafiz Ruhaiki, muncul wira Kelantan apabila jaringannya dalam masa tambahan membantu tuan rumah untuk mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Padang SMK Kubang Kerian 3, sebentar tadi.


Sebelum jaringan cantik itu dicipta, Kelantan ketinggalan seawal minit ke-11 apabila tandukan kencang pemain tengah Kuala Lumpur, Ad'dham Mihd Nazrul, menewaskan penjaga gol, Dzarif Idzham Ramli.

Lebih derita, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengahnya, Muhd Zulhilmie Abdul Rahman, dilayangkan kad merah selepas mengasari pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-59.

Namun, semangat juang Pahlawan Merah tidak pernah luntur apabila kembali menyusun gerak dan jaringan penyamaan terhasil apabila dianugerahkan sepakan penalti dan mudah disempurnakan Mohd Alif Haikal Mokhtar pada minit ke-69.

Ketika kedua-dua pasukan sedang menyiapkan pemain untuk penentuan sepakan penalti, larian solo Danial Hafiz menewaskan dua pertahanan lawan sebelum tenang meleretkan bola ke jaring menewaskan penjaga gol, Muhammad Aizul Ashraff Mohd Norarasy, pada minit-minit akhir masa tambahan.

Jurulatih Kelantan, Wan Mohd Izwan Wan Idris, memuji kebangkitan lewat anak buahnya yang beraksi penuh bersemangat untuk mendapatkan dua jaringan yang sangat berharga.

"Alhamdulillah, pemain agak keletihan tetapi berjaya menyerap tekanan yang diberikan lawan.

"Rezeki berpihak kepada kami dan saya bangga dengan semangat tidak mudah mengaku kalah.

"Tahniah juga kepada Kuala Lumpur yang memberikan cabaran sengit petang ini," ujarnya.

Keputusan Suku Akhir:

NEGERI SEMBILAN 1 KEDAH 0
JOHOR 3 MELAKA 0
SELANGOR 2 PULAU PINANG 0