Layak sebagai juara kumpulan diharap mampu memberi lebih motivasi kepada pemain Kelantan yang akan turun beraksi menentang Kuala Lumpur dalam suku akhir Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) B- 15 Tahun di Padang SMK Kubang Kerian 3, Kota Bharu, petang ini.

Bagaimanapun, jurulatih Kelantan, Wan Mohd Izuan Wan Idris, tidak mahu pemain terlalu yakin, sebaliknya beraksi seperti biasa kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Alhamdulillah, prestasi pemain semakin meningkat dan kami akan turun petang ini (jumpa Kuala Lumpur) dengan semangat yang tinggi.

"Cuma, saya harap pemain terus fokus di atas padang dan jangan beri sebarang ruang kepada lawan untuk menghukum kami," katanya.

Izuan juga gembira kesebelasan utamanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan boleh diturunkan untuk aksi penting petang ini.

"Alhamdulillah, mereka (pemain) tidak sabar untuk menghadapi cabaran dalam suku akhir dan kami akan berikan yang terbaik di gelanggang sendiri," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan menjuarai Kumpulan D dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut manakala Kuala Lumpur lolos di saat-saat akhir apabila mengikat Pahang 3-3 untuk muncul naib juara Kkumpulan B.

Jadual suku akhir

Selangor lwn Pulau Pinang

Negeri Sembilan lwn Kedah

Johor lwn Melaka