Moyes akhirnya tewaskan Mourinho

Muzaffar Musa
Februari 21, 2021 15:24 MYT
Tottenham Hotspur tergelincir ke tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan David Moyes menamatkan "sumpahan" ke atas Jose Mourinho apabila West Ham menewaskan pasukan itu di Stadium London sebentar tadi.
Moyes meraih kemenangan pertamanya ke atas Mourinho selepas 16 percubaan untuk mencemar perlawanan EPL ke-50 pengurus itu sejak mengambil alih Spurs, sekali gus melonjakkan The Hammers ke tangga keempat.
Michail Antonio memberikan pasukan tuan rumah itu kelebihan seawal minit kelima dan mereka menjadi pasukan yang lebih pantas menemui sasaran dalam babak kedua hasil penyudah Jesse Lingard.
Spurs, yang mensia-siakan kelebihan 3-0 pada 10 minit terakhir untuk diikat 3-3 dalam pertemuan pertama Oktober lalu, membalas dengan tandukan Lucas Moura tetapi percubaan Gareth Bale yang terkena palang membuatkan usaha kebangkitan mereka berakhir gagal.
Antonio meletakkan skuad kendalian Moyes itu di depan dengan melakukan penyudah jarak dekat selepas penjaga gol, Hugo Lloris, gagal menangkap umpanan lintang Jarrod Bowen.
Harry Kane kemudian melakukan percubaan yang tersasar pada penghujung serangan balas pantas Spurs sebagai repons segera daripada pasukan pelawat itu.
Pertembungan kepala di antara Tomas Soucek dan Davinson Sanchez menyaksikan muka Soucek berlumuran darah dan West Ham terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk seketika tetapi tiada sebarang padah yang diterima mereka.
Tandukan tajam Craig Dawson memaksa Lloris menepis keluar percubaan itu sebelum waktu rehat dengan Lukasz Fabianski pula bijak menafikan percubaan Erik Lamela di gawang bertentangan.
Cabaran Spurs semakin sukar pada awal babak kedua apabila Lingard meluru ke arah bola dan dengan penuh keyakinan menewaskan Lloris untuk Mourinho kelihatan muram di pinggir padang.

That finish, @JesseLingard ? Beautiful.#WHUTOT pic.twitter.com/O6hte4lEwX

— West Ham United (@WestHam) February 21, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kane, yang menjaringkan 11 gol dalam 15 perlawanan liga menentang The Hammers, kemudian melakukan percubaan jarak jauh yang tersasar di sebelah kiri gawang Fabianski menjelang sejam permainan.
Tandukan jarak dekat Lucas susulan sepakan penjuru Bale memberikan Spurs sedikit harapan dan Kane hampir menemui gol penyamaan melalui percubaan rendahnya yang sekali lagi tersasar jauh.
Percubaan akrobatik Bale dari penjuru kotak penalti pula terkena palang dan tiang gol West Ham sekali lagi bergegar dalam waktu kecederaan susulan percubaan terbias Son Heung-min.
West Ham, bagaimanapun, kental bertahan walaupun diasak hebat sehingga wisel penamat.
#Jose Mourinho #David Moyes #West Ham United #Tottenham Hotspur #Liga Perdana Inggeris