Jose Mourinho menegaskan dia tidak dibuai oleh kemenangan selepas Manchester United menewaskan Zorya 1-0 dalam Liga Europa malam tadi -- kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.

United memerlukan 69 minit untuk melakukan percubaan tepat pertama perlawanan menentang Zorya, yang juga gol tunggal perlawanan, dengan Zlatan Ibrahimovic berjaya untuk menanduk percubaan liar Wayne Rooney bagi menghasilkan jaringan.

United telah menyingkirkan Northampton Town daripada Piala EFL dan menewaskan Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), untuk bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut tetapi Mourinho tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan tersebut.

"Satu minggu, tiga kekalahan, satu minggu, tiga kemenangan," kata Mourinho kepada BT Sport. "Saya tidak tertekan dengan tiga kekalahan tetapi saya juga tidak akan terbuai dengan tiga kemenangan.

"Kami mempunyai perlawanan pada hari Ahad [menentang Stoke dalam EPL] dan sekarang itu merupakan perkara yang paling penting.

"Ia adalah sukar. Kami mempunyai peluang pada separuh masa pertama dan kami boleh menjaringkan gol serta mengubah corak perlawanan tetapi kami tidak melakukannya.

"Mereka begitu teratur, dengan pemain mereka berkampung di kawasan sendiri, selain kelihatan berbahaya ketika melakukan serangan balas, jadi ia satu perlawanan yang sukar tetapi ia sangat penting untuk kami meraih kemenangan."

Rooney sekali lagi diletakkan di bangku simpanan oleh Mourinho ekoran kapten United itu mengalami kecederaan belakang tetapi jurulatih Portugis itu gembira dengan pilihan penyerang yang dimilikinya di bangku simpanan.

"Sejak minit pertama, saya menantikan jaringan tetapi ia tidak kunjung tiba," kata Mourinho.

"Anda tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku tetapi sejujurnya [Sergio] Romero menyelamatkan gawang dengan cemerlang ketika kedudukan 0-0.

"Saya mempunyai pemain yang berada di bangku simpanan yang saya rasakan mampu untuk mengubah rentak permainan, saya menggunakan tiga tetapi saya mempunyai pilihan penyerang yang berbeza."

"Rooney memberikan kami posisi yang berbeza dan [Anthony] Martial memberi kami kelajuan yang berbeza apabila pasukan lawan semakin keletihan."