ROMA 1 MILAN 2

Pengurus Roma, Jose Mourinho, enggan mengulas panjang selepas Giallorossi tewas 1-2 kepada Milan di Stadio Olimpico, awal pagi tadi, kerana bimbang jika melakukannya dia tidak akan dapat berada di tepi garisan pada minggu depan.


Ia adalah kekalahan Serie A pertama Mourinho di tempat sendiri memandangkan tidak pernah tewas sepanjang 43 perlawanan ketika mengemudi Inter dan Roma.

"Pujian kepada Milan," katanya kepada DAZN sejurus selepas perlawanan.

“Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi kerana jika tidak saya tidak akan berada di bangku simpanan minggu depan.

"Saya cuma marah kerana penyokong Roma kurang menunjukkan rasa hormat. Kami tidak bermain dengan baik tetapi kami telah mencurahkan segala-galanya di atas padang. Kami mempunyai rasa hormat itu sementara yang lain tidak, ia membuatkan saya marah.

"Itu sahaja."

Bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu kemudian muncul alamsidang akhbar yang singkat dengan menambah: "Saya telah berusaha dan tidak menunggu pengadil."

Pengurus Portugis itu kelihatan tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil, Fabio Maresca, yang memberikan Milan sepakan penalti dalam separuh masa kedua selepas mengesan Roger Ibanez mengasari Zlatan Ibrahimovic.

Maresca kemudian menyemak rakaman video bantuan pengadil (VAR) di tepi padang sebelum mengekalkan keputusannya dengan menunjukkan titik penalti.

Pemain tengah Milan, Franck Kessie, menyempurnakan tugasan itu untuk menggandakan kedudukan selepas di depan menerusi sepakan percuma Ibrahimovic -- jaringan ke-400 peribadinya -- dalam separuh masa pertama, ia terbukti menjadi gol kemenangan pasukannya.

Maresca juga melayangkan kad kuning kedua kepada pertahanan Milan, Theo Hernandez, dalam babak kedua tetapi anak buah Mourinho itu tetap gagal mengelak kekalahan di sebalik jaringan lewat Stephan El Shaarawy.




Dalam masa sama, pengurus Milan, Stefano Pioli, memuji keberanian pasukannya yang kembali menyamai mata dengan Napoli di tangga teratas Serie A selepas kemenangan itu.

"Kami mempamerkan karakter dengan idea dan pendekatan kami," kata Pioli kepada DAZN.

“Roma adalah sebuah pasukan yang berkualiti, kami melakukannya dengan sangat baik ketika 11 lawan 11, terus mencuba untuk menyumbat lebih banyak gol lagi dan itulah perwatakan yang kami perlukan dalam perlawanan penting seperti ini.

"Kami melalui detik prestasi yang positif jadi kami perlu mengharungi gelombang ini, berani dan yakin, sehubungan itu saya sangat gembira."