MANCHESTER UNITED 1 YOUNG BOYS 0

Jose Mourinho gembira menyaksikan Manchester United layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) biarpun pasukannya memerlukan jaringan lewat Marouane Fellaini untuk membenam Young Boys.


Kemenangan itu muncul tatkala United seolah-olah akan merakam keputusan seri ketiga saingan Eropah di laman sendiri tanpa menjaringkan gol -- ia sesuatu yang belum pernah tercatat dalam sejarah kelab tersebut.

Bagaimanapun, Fellaini menghadiahkan kejayaan pada minit ke-91 untuk kemenangan tipis 1-0 di Old Trafford pada awal pagi tadi, manakala kemenangan Juventus ke atas Valencia memastikan United layak ke pusingan 16.

Begitupun, keraguan terhadap ketumpulan di depan gawang yang sering dipamerkan anak buahnya pantas ditepis oleh Mourinho.

Sebaliknya, beliau menghalakan fokusnya kepada gambaran yang lebih besar mengenai kejohanan yang sebelum ini pernah dimenanginya bersama Porto dan Inter Milan.

"Saya gembira dengan kehebatan barisan pemain saya dalam permainan ini," katanya kepada BT Sport mengenai prestasi pasukannya.

"Sudah tentu saya gembira dengan cara kami memulakan permainan -- kami mempamerkan corak permainan seperti yang diharapkan.

"Sudah tentu ia tidak mudah buat pemain saya untuk mengatasi kekecewaan dan tekanan atas keputusan yang kami lebih berhak. Namun, perkara paling penting adalah kemaraan.

"Bagi sesetengah pencinta saya, saya hanya mahu mengatakan -- iaitu bagi orang yang menggemari statistik -- saya telah mengharungi 14 musim dalam UCL, 14 kali pasukan bimbingan saya melolosi peringkat kumpulan, tidak pernah ada satu pasukan saya terkandas di fasa kumpulan.

"Musim ketika saya tidak bermain dalam UCL, saya memenangi Liga Europa. Ia satu rekod yang bagus."