Jose Mourinho menempelak seorang wartawan secara bersemuka sebelum lawatan Roma ke Sampdoria tengah malam ini apabila berkata wartawan itu telah tercirit di dalam seluar ketika berdepan dengannya.

Wartawan itu, Alessandro Austini, baru-baru ini mengkritik Mourinho di radio Itali dan bekas pengurus Manchester United dan Real Madrid tersebut kemudian bertindak balas dalam sidang media pra-perlawanan itu, sebentar tadi.

Mourinho, 59, berkata dia menjangkakan soal yang lebih panas daripada Austini dan menganggap wartawan itu amat gentar dengannya.

Menjawab soalannya, Mourinho berkata: "Saya menjangkakan soalan yang lebih agresif, lebih negatif dan ganas selepas saya mendengar ulasan anda di radio.

"Saya tidak menjangkakan soalan semudah ini. Kesimpulan awak lebih agresif dan ganas di radio tetapi apabila datang ke sini, awak terberak sedikit sedikit di hadapan saya."



Roma menduduki tempat ketujuh Serie A sempena kunjungan ke Sampdoria selepas mengumpul 51 mata daripada 30 perlawanan.

Mereka belum tewas dalam sembilan perlawanan terakhir liga dan memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir.

Kali terakhir mereka mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah berturut-turut dalam satu kempen ialah pada 2015-16 yang ketika itu di bawah kendalian Luciano Spalletti.