Eric Cantona menjangkakan Manchester United akan memenangi banyak trofi di bawah kendalian Jose Mourinho.

Bekas jurulatih Chelsea, Mourinho, akan membawa United menghadapi aksi final Piala EFL berdepan Southampton, awal pagi esok.

Cantona, yang telah memenangi enam kejuaraan utama di Old Trafford, yakin pengendali kelahiran Portugal itu mampu menghasilkan banyak kejayaan bersama-sama pasukan -- bermula dengan aksi di Wembley.

"Saya berpendapat (United) akan memenangi lebih daripada satu trofi musim ini, bermula dengan Piala EFL," kata Cantona.

"Mourinho adalah seorang pemenang -- beliau telah melakar banyak kejayaan. Saya berasakan United mampu melakar banyak kejayaan di masa akan datang."

Cantona turut percaya kerja keras Mourinho untuk menghadirkan permainan yang menarik telah membuahkan hasil sejak tiba di United.

"Saya berpendapat (Mourinho) lebih cenderung untuk mengetengahkan strategi menyerang dan mempamerkan permainan yang menarik.

"Beliau seorang yang sangat bijak dan mudah bergurau. Kekuatan mental Mourinho untuk menyerap tekanan memudahkan pemain-pemain untuk beraksi di atas padang."