Jose Mourinho memahami mengapa Dele Alli tidak gembira apabila tidak diturunkan ketika Tottenham menewaskan Royal Antwerp 2-0 dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi sambil mempertahankan Harry Winks, yang terus menuju ke bilik persalinan selepas ditukarkan.

Winks salah seorang daripada sembilan muka baru yang diturunkan dalam kesebelasan utama Tottenham berbanding ketika menewaskan Arsenal hujung minggu lalu tetapi hanya bertahan selama lebih sejam sebelum digantikan dengan Mussa Sissoko, dua minit selepas Carlos Vinicius menjaringkan gol pembukaan.

Ketika Vinicius dan Gareth Bale kembali ke tempat duduk pemain selepas dikeluarkan, Winks pula hanya berlalu di depan Mourinho dan terus menuju ke bilik persalinan.

Tetapi Mourinho berkata dia memberikan kebenaran untuk pemain berusia 24 tahun itu, yang memulakan 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini, kebenaran untuk menukar pakaian.

"Saya suruh dia pergi, saya beritahu semua pemain yang masih ada di padang untuk pergi kerana apabila cuaca amat sejuk, saya lebih memilih untuk mereka ke bilik persalinan dan mandi," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya menyuruh mereka pergi walaupun ada yang memilih untuk kekal. Winks memilih untuk pergi dan saya gembira kerana saya yang menyuruhnya melakukannya."

Mourinho menggunakan kesemua lima pertukarannya sebelum minit ke-70 tetapi Alli bukanlah salah satu daripada pertukaran itu.

Pemain tengah itu kelihatan meninggalkan tempat duduk pemain sebelum kembali dan Mourinho mengakui adalah mustahil untuk menggembirakan semua pemain dalam pasukannya.

"Ayuh tidak lari daripada realiti. Pemain yang ada di bangku pemain menyedari kesemua lima pertukaran sudah digunakan sudah pasti tidak berasa gembira dan saya tidak rasa dia akan gembira.

"Tetapi sekali lagi, mana-mana pemain yang meninggalkan bangku pemain atau meninggalkan padang adalah disebabkan cuaca sejuk. Bersama saya, mereka boleh ke bilik persalinan dan saya lebih memilih untuk ia dilakukan," katanya lagi.

Tottenham dan Antwerp sudah mengesahkan tempat ke pusingan-32 tetapi kemenangan itu turut memastikan Spurs menamatkan saingan peringkat kumpulan itu di kedudukan teratas.

Mourinho memasukkan gandingan Son Heung-min dan Harry Kane di jentera serangannya pada setengah jam terakhir dan ia berhasil menambah gol kedua yang disudahkan Giovani Lo Celso.