Jose Mourinho memuji impian yang dimiliki Tammy Abraham selepas penyerang itu memilih untuk meninggalkan Chelsea bagi menyertai AS Roma.

Abraham menandatangani kontrak lima tahun bersama pasukan Serie A itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Edin Dzeko, yang memilih untuk menyertai Inter Milan.

Roma membayar €40 juta (RM198.43 juta) untuk mendapatkan khidmat penyerang itu, yang melakukan penampilan pertama buat Chelsea pada 2016 dan telah beraksi sebanyak enam kali buat negaranya, England.

Mourinho percaya keputusan Abraham untuk meninggalkan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi cabaran baru telah menunjukkan betapa pemain itu mempunyai aspirasi yang tinggi.

"Tentang Tammy, saya memilih untuk katakan 'tunggu dan lihat'," kata Mourinho dalam satu kiriman video dalam akaun Twitter Roma.

"Saya berkata begitu dengan penuh keyakinan. Saya sudah mengenalinya sejak dia masih remaja. Dia tidak pernah bermain untuk saya kerana sewaktu saya di Chelsea, dia baru berusia 14, 15 dan 16 tahun tetapi saya amat mengenalinya.

"Ia telah memberikan saya gambaran yang besar mengenainya kerana apabila anda meninggalkan EPL, anda melakukannya kerana anda bercita-cita tinggi.

"Anda meninggalkannya kerana anda mahu kembali dalam skuad kebangsaan anda, kerana anda mahu bermain dalam Piala dunia, kerana anda mahu berjaya di luar England, di mana tidak ramai pemain England memiliki karier yang hebat.

"Dia datang ke sini dengan impiannya dan kami berharap dapat melihat kualiti terbaiknya sebagai seorang pemain," katanya.