Ketua jurulatih AS Roma, Jose Mourinho, dibuang padang ketika pasukannya tewas 2-5 kepada Real Betis dalam aksi persahabatan pramusim awal pagi tadi.

Bekas pengurus Tottenham, Chelsea dan Manchester United itu meluru masuk ke padang dan memberikan protes kepada pengadil susulan gol kontroversi Betis.

Insiden itu berlaku ketika perlawanan terikat 2-2, di mana Alex Moreno kelihatan menjaringkan gol buat Betis menggunakan lengannya tetapi pengadil tidak membatalkan jaringan, sekali gus mencetuskan berang Mourinho.

Pengendali berbangsa Portugis itu dan pemainnya, Lorenzo Pellegrini, kemudian dibuang padang susulan tindakan berkenaan sebelum dua lagi pemain dan dua orang jurulatih lain turut dilayangkan kad merah, sekali gus pasukan berkenaan terpaksa akur tewas 2-5 selepas dibolosi dua lagi gol.

Mourinho mengambil alih Roma selepas tamat musim lalu dengan misi memperbaiki kedudukan Giallorossi, yang sebelum ini mengakhiri kempen Serie A di tempat ketujuh.

Roma akan memulakan liga musim 2021-22 dengan menentang Fiorentina pada 22 Ogos ini.