Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan pemain yang baru menyertai The Red Devils, Nemanja Matic, sebagai pemain genius.

Walaupun baru menyertai sesi latihan, bekas pemain Chelsea itu membuat penampilan pertamanya untuk United dalam aksi pra-musim terakhir menentang Sampdoria, semalam.

Matic melengkapkan perpindahannya dari Stamford Bridge bernilai GBP40 juta (RM226 juta), sekaligus membolehkannya berganding semula bersama Mourinho selepas pengurus dari Portugal itu mendapatkannya pada tahun 2014 dari Benfica ketika mengendalikan Chelsea.

Pemain Serbia itu menandatangani kontrak selama tiga tahun dan bermain pada separuh masa pertama ketika menentang Sampdoria.

“Ini adalah Matic,” kata Mourinho.

“Pada pendapat saya, bermain secara ringkas di posisi itu adalah genius kerana dia menjadikan segala-galanya mudah.

“Gaya permainannya benar-benar menggunakan akal yang bijak dan pastinya fizikal merupakan faktor penting tetapi untuk bermain tanpa aksi pra-musim, ia bukan sesuatu yang mudah,” tambahnya.