Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, enggan dipersalahkan sepenuhnya atas pergelutan yang dilalui pasukan itu musim ini, dengan masa depannya di sana seakan-akan menghampiri penghujung.

Mourinho mengetuai rekod buruk United musim ini dengan hanya meraih empat kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk ketinggalan sembilan mata untuk mencabar kejuaraan liga.

Pengendali kelahiran Portugis itu mengadakan sidang media ringkas semalam sebelum akhbar Daily Mirror melaporkan masa depannya kini bergantung kepada perlawanan menentang Newcastle United.

Mourinho, yang gagal meraih kemangan dalam empat perlawanan terakhir di laman sendiri, menjelaskan dia tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya.

"Adakalanya pengurus tidak dapat mengawal semua yang berlaku," kata Mourinho.

United menamatkan liga musim lalu dengan kedudukan naib juara di belakang Manchester City. Mereka juga ke final Piala FA sebelum tewas kepada Chelsea.

Namun, rekod tersebut seakan-akan dilupakan sebaik ketegangan berlaku di antara Mourinho dan bintang tengah mereka, Paul Pogba.

Dua individu tersebut dilihat bertengkar ketika sesi latihan sebaik Mourinho melucutkan jawatan penolong ketua pasukan daripada Pogba.

Terdapat juga laporan yang mendakwa ketua pasukan, Antonio Valencia, memohon maaf di dalam bilik persalinan sebaik menyukai sebuah kiriman di laman Instagram yang mahukan Mourinho dipecat.

Apabila ditanya mengenai siapa harus bertanggungjawab di atas kesengsaraan United musim ini, ini reaksi Mourinho: "Saya dipersalahkan selepas menamatkan musim lalu dengan baik."

United membuat pelaburan yang besar bagi mendapatkan pemain tengah Brazil, Fred, sambil pemain muda Portugal, Diego Dalot, turut diterbangkan daripada Porto.

Namun, ia bukanlah satu pembelian yang baik bagi Mourinho yang memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain lagi.

"Kejayaan berhubung langsung dengan potensi kami dan potensi lawan.

"Musim lalu menjadi fenomena berdasarkan dua faktor ini.

"Lawan dengan potensi yang lebih baik tamat di belakang kami. Itulah yang menyebabkan musim lalu adalah satu fenomena," tambahnya.