ROMA 10 MONTECATINI 0

Pengurusan Jose Mourinho di Roma dimulakan dengan kemenangan bergaya 10-0 ke atas pasukan kerdil, Montecatini, dalam perlawanan ujian hari ini.


Selepas dipecat Tottenham, bekas pengurus Chelsea, Manchester United, Real Madrid dan Inter itu dilantik sebagai ketua jurulatih baru Roma pada Mei lalu bagi menggantikan rakan senegara, Paulo Fonseca.

Menjelang perlawanan kompetitif pertama di bawah Mourinho bagi aksi pembukaan Serie A menentang Fiorentina bulan depan, Giallorossi membuat permulaan garang dalam pra-musim dengan membelasah kelab Serie D itu.

Borja Mayoral meledak hatrik dengan jaringan pertamanya terhasil selepas Carles Perez dan Gianluca Mancini meletakkan Roma mendahului 2-0.

Riccardo Calafiori kemudian menyumbat gol pantas sementara jaringan sendiri Montecatini meletakkan Roma 5-0 di depan ketika rehat.

Nicolo Zaniolo tampil menyempurnakan sepakan penalti sebelum Mayoral menokok gol seterusnya dan pemain yang dipinjamkan daripada Real Madrid itu melengkapkan hatriknya sejurus Nicola Zalewski dan Amadou Diawara mencetak nama selaku penjaring.

Pendatang baru Serie B, Ternana, akan menjadi ujian seterusnya buat Roma yang akan menghadapi Serie C Triestina tiga hari kemudian sebelum melengkapkan persiapan pra-musim mereka dengan aksi pemanas badan menentang Debrecen, bekas kelab Mourinho; Porto, dan Real Betis.