Jose Mourinho membidas barisan penyerangnya ekoran gagal melunaskan peluang apabila Anderlecht berjaya menyamakan kedudukan 1-1 di hujung perlawanan dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

United menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan tampak akan menamatkan 90 minit dengan kemenangan apabila Henrikh Mkhitaryan meledak gol pembukaan sembilan minit sebelum berakhir babak pertama.

Anderlecht bangkit dalam babak kedua, namun United masih menguasai permainan dan sepatutnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

Malangnya, Leander Dendoncker menghadiahkan pasukan tuan rumah gol penyamaan, sekaligus mencetuskan kemarahan Mourinho yang berang dengan jentera serangan dibarisi Marcus Rashford, Jesse Lingard, Zlatan Ibrahimovic dan pemain gantian, Anthony Martial.

"Marcus Rashford? Saya rasa dia juga sama seperti pemain lain," Mourinho memberitahu BT Sport.

"Jesse Lingard, Zlatan Ibrahimovic, Anthony Martial -- pada saya mereka semua sama sahaja.

"Leka adalah perkataan paling sesuai -- bahasa Inggeris saya tidak sebagus mana, jadi itu sahaja perkataan yang mampu saya katakan. Kami perlu bermain lebih serius.

"Jika saya merumuskan persembahan keempat-empat pemain penyerang, mereka gagal menjalankan tugas dengan baik.

"Kami perlu mengesahkan kemenangan lebih awal. Kami mendapat peluang dan menguasai hantaran tetapi gagal menjaringkan gol.

"Pemain membuat percaturan salah ketika menghampiri gawang lawan."