Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memberi amaran kepada Tottenham Hotspur bahawa pertembungan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley tengah malam ini tidak memberi kelebihan kepada mereka.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu menggunakan stadium nasional England itu sepanjang musim ini sementara menunggu kerja-kerja di White Hart Lane selesai.

Mourinho, bagaimanapun, tidak menganggap Spurs mempunyai sebarang kelebihan pada hujung minggu ini sambil mengatakan dia tidak akan menggunakan pendekatan berbeza daripada apa yang dilakukannya sejak pusingan awal.

Beliau memberitahu sidang akhbar: "Saya bertugas dalam satu perlawanan akhir menentang Roma di tempat mereka (sebagai jurulatih Inter pada 2010) dan saya menang, dan saya beraksi dalam aksi final di tempat sendiri (di Santiago Bernabeu pada 2013 sebagai jurulatih Real Madrid) dan saya tewas.

"Jadi, saya fikir apabila dalam detik-detik besar ini, tidak kira sama ada dalam separuh akhir, final, saya tidak fikir ia merupakan satu kelebihan sama sekali.

"Di sesetengah negara, separuh akhir saingan piala dimainkan sama ada di tempat sendiri atau lawan, bukan di gelanggang berkecuali, itulah bola sepak.

"Saya melihat pertembungan Tottenham dan Manchester United dengan cara yang sama seperti saya melihat Huddersfield atau Brighton, kali ini tetapi saya tidak melihat apa-apa kelebihan, sama seperti ketika bermain di Old Trafford," katanya.

Mourinho, yang menafikan cadangan bahawa musimnya akan menjadi kegagalan jika United tidak memenangi Piala FA, menjalani latihan di London sejak kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth, Rabu lalu.

Pengurus Portugis itu mengucapkan terima kasih kepada Fulham dan ketua jurulatih, Slavisa Jokanovic, kerana membenarkan United menggunakan kemudahan mereka sempena persiapan tengah malam ini.

"Semalam, mereka membenarkan kami menggunakan Craven Cottage dan hari ini (Jumaat), saya meminta padang di padang latihan (Motspur Park) dan pengurus, Jokanovic, memberi saya padang terbaik mereka supaya saya berterima kasih kepada Fulham dan Joka untuk itu, "katanya kepada MUTV.

"Saya fikir jalan terbaik untuk kami selepas pertemuan dengan Bournemouth, bukannya kembali ke Manchester dengan menaiki pesawat, pulang ke rumah dan kemudiannya kembali keesokan harinya dan ke London sekali lagi.

"Kami datang ke sini, berlatih bersama-sama, berlatih secara senyap-senyap, bersiap untuk menghasilkan permainan terbaik," ujarnya.