Jorge Martin memanfaatkan kedudukannya di petak pertama sebelum meraih kemenangan dalam Grand Prix Styria yang penuh dramatik semalam sekaligus melakar kemenangan sulungnya dalam saingan MotoGP.

Martin, bersaing dalam musim pertama MotoGP, meraih petak pertama dengan catatan masa 1 minit 22.994 saat -- rekod masa terpantas di Red Bull Ring.

Bagaimanapun, dia memerlukan peluang kedua untuk mengubah sesi kelayakan yang menakjubkan itu berikutan bendera merah yang dikibar pada permulaan saingan ekoran pelanggaran yang melibatkan Dani Pedrosa dan Lorenzo Savadori.

Francesco Bagnaia berjaya mendahului Martin, tetapi selepas perlumbaan disambung, kedudukan asal telah digunakan, dan selepas memperoleh semula kawalan daripada Jack Miller, penunggang jentera Pramac itu memastikan dia kekal di tempat pertama mengatasi Joan Mir dan Fabio Quartararo.