Pelumba Moto2 Negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengesahkan bahawa dia tidak akan berlumba dalam Grand Prix Emilia Romagna di Litar Misano, Itali hujung minggu in.

Ia bagi menumpukan perhatian terhadap keluarganya, terutama selepas datuknya yang berusia 103 tahun dijangkiti virus COVID-19 tahap empat.

Dalam temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, pelumba negara itu berkata: "Saya sudah membuat keputusan ini sejak Isnin lalu berdasarkan situasi keluarga saya yang terkesan disebabkan COVID-19.

"Keputusan ini memang berat untuk diambil kerana saya perlu berlumba pada katika datuk dan nenek saya posiitf (COVID-19).

"Datuk saya disahkan mengalami jangkitan tahap empat dan nenek saya turut dijangkiti.

"Keputusan ini memang berat kerana saya memang minat untuk berlumba dan mustahil untuk saya tidak mahu berlumba dalam kejuaraan dunia.

"Apabila keluarga saya berdepan situasi seperti ini -- kerana tahun lalu, saya juga kehilangan nenek saya, insan yang paling rapat dengan saya sejak dari kecil -- saya tidak sanggup untuk kehilangan orang yang saya sayangi lagi.

"Tetapi adakalanya kita perlu menerima kenyataan dan redha tetapi sementara mereka masih ada, saya perlu mengambil keputusan yang amat berat ini untuk terlepas satu perlumbaan.

"Kalau diikutkan, Litar Misano merupakan satu litar yang saya amat gemari, cuma tahun ini merupakan tahun yang agak sukar buat saya, terutama dengan situasi yang saya hadapi (dengan pasukan).

"Musim juga hanya berbaki tiga perlumbaan. Saya sudah memaklumkan pasukan mengenai situasi saya, mereka juga amat memahami dan saya dibenarkan untuk kekal berada di Malaysia sehingga keadaan keluarga saya semakin pulih," katanya.

A post shared by Hafizh Syahrin Abdullah (@hafizh_syahrin)